Sunday, April 01, 2007

Mengenang Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallaahu 'alaihi wasallam

[Tentang Syeikh Muhammad Abdul Wahhab di www.pemainbahasa.blogspot.com]

Rabi'ul Awwal ini, saya hanya mahu meninggalkan kalian dengan kalimah yang pernah diucapkan oleh Ummu Ma'bad Al-Khuza'iyah kepada suaminya, menceritakan tentang peribadi Nabi Sallallaahu 'alaihi wasallam;

“Jelas bercahaya, putih muka, comel perwatakan, berbadan besar yang tidak mencacatkan, kepala kecil yang tidak memenatkan, keseluruhan badan cantik dan menarik, anak matanya hitam, bulu matanya panjang, suaranya besar dan kasar, berleher jinjang, bermata luas, bagaikan bercelak, berkening panjang dan tebal, berambut hitam, ketika Baginda berdiam kelihatan hebat, ketika bercakap tertonjol kesegaran dan ceria, dari jauh lagi kelihatan seorang yang cantik dan segak, dari dekat pula kelihatan manis dan menarik, sopan pertuturannya, berbudi bahasa, tidak teragak-agak percakapannya dan tidak meleter.

Percakapan Baginda bagaikan langkahan ataupun sulaman yang teratur rapi, tinggi susuk tubuh Rasulullah s.a.w. tidak menjelekkan mata memandang atau pendek menghairankan perhatian, bagaikan dahan di antara dua dahan yang lain yang terindah pandangan di antara yang tiga dan yang terbaik penilaian. Baginda mempunyai taulan pengikut yang memberi khidmat kepadanya, bila Baginda bercakap semua mereka diam untuk mendengar katanya. Bila memerintah semua mereka bersegera melaksanakan suruhannya, penuh kesanggupan dan penyertaan tanpa bermasam muka atau mencanggahinya.” (Lihat: Al-Mubarakfuri, Syeikh Safi Ar-Rahman, Al-Raheeq Al-Makhtum Sirah Rasulullah (S.A.W.), m.s. 705, Kuala Lumpur: Penerbitan Seribu Dinar, 2005)

Atau, telaah saja puisi saya Menghirup Susu Segar Ini dalam Siasah edisi terbaru, 30 Mac - 19 April 2007. Saya petik sedikit untuk kalian;

Menghirup susu segar ini
aku segera teringatkan
susu kambing Ummu Ma’bad

yang diperah Nabi.

[Selebihnya, kalian baca saja di sana]

Dan untuk kita semua, saya hanya mahu mengakhiri catatan ini dengan sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud;

"Daripada Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Demi jiwaku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya."



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang, Kelantan.
12.39 tengah hari, Ahad.
13 Rabi'ul Awwal 1428H.
1 April 2007.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home